Friday, August 23, 2013

Sejarah Mazhab Qadariah


Mereka adalah golongan yang menyatakan perbuatan itu daripada hamba bukannya daripada Allah. Fahaman ini muncul apabila mereka menyeleweng hadis Nabi Muhammad yang berpesan supaya jangan terlalu banyak membicarakan mengenai qada’ dan qadar sehingga dipengaruhi oleh syaitan. Apa yang dipesan oleh Nabi Muhammad itu benar. Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, sebahagian kecil umat Islam membincangkan perkara itu lalu mereka dipengaruhi oleh anasir-anasir bukan Islam. Faktor lain yang mempengaruhi pemikiran umat Islam adalah hasil percampuran umat Islam dengan umat lain dan galakan menterjemahkan buku-buku asing tanpa batasan.
Menurut para sarjana sejarah Islam, antara orang pertama yang menimbulkan fahaman Qadariah adalah:
Ma’abad al- Juhani
Al-Zahabi menyebut di dalam bukunya Mizan al-Iktidal, pada peringkat awal, Ma’abad adalah sarjana tabiin yang dipercayai. Namun, dia membawa ajaran yang terpesong kerana menjadi orang yang pertama menyeleweng mengenai qadar.
Ghilan al-Dimasyqi
Dia mengikut fahaman ini dan meneruskan penyebarannya selepas Ma’abad iaitu pada zaman Umar bin Abdul Aziz. Mendengar fahaman Ghilan, kalifah Umar memanggilnya supaya berdebat dengan Imam al-Auza’ i. Akhirnya dia menyerah kalah dan berkata kepada khalifah, “Wahai Amirul Mukminin, saya datang dalam keadaan sesat lalu kamu menunjukkan kepada saya jalan yang benar. Saya datang dalam keadaan jahil lalu kamu mengajar saya, demi Allah saya tidak mahu bercakap lagi perkara itu.” Namun, selepas khalifah Umar meninggal dunia, dia kembali semula menyebarkan ajarannya. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memanggilnya supaya berdebat dengan Imam al-Auza’i. Kali yang kedua dia menyerah kalah. Walau bagaimanapun, dia berdegil menyebarkan ajarannya. Dengan berani dia berkata, “Qadar baik dan jahat itu daripada hamba.” Akhirnya, khalifah Hisyam memerintah supaya dia ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh.
Fahaman ini tidak mati dengan matinya Ghilan. Ia masih terus disebarkan di tengah-tengah masyarakat Islam dan berkembang bebas.
Ibnu Nabatat menyebut dalam bukunya Syarah al-Ubun, “Orang yang pertama bercakap dengan fahaman Qadariah adalah orang Nasrani yang memeluk agama Islam dari negeri Iraq. Kemudian dia murtad (keluar Islam) dan kembali pada agama Nasrani.

Kuliyah Jumaat 11 Mei 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

SUMBER

Wednesday, July 17, 2013

Fahaman Mu'tazilah

Di antara umat Islam ada yang menganut fahaman Mu'tazilah. Di antara fahaman Mu'tazilah yang sangat bercanggah dengan fahaman Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ialah bahawa Mu'tazilah tidak percaya akan adanya azab dan nikmat kubur.[2] Mereka beranggapan kononnya azab dan nikmat kubur itu tidak rasional dan bercanggah dengan akal yang waras.

          Mereka mendakwa antara lain, bagaimana manusia akan disiksa dan mendapat nikmat di dalam kubur padahal ada manusia yang tidak dikesan kuburnya? Bagaimana dengan mereka yang hancur tubuhnya kerana letupan bom, yang dimakan oleh binatang buas dan hangus terbakar menjadi abu? Semua pertanyaan ini hanya muncul dari orang yang jahil tentang makna alam kubur atau lebih tepat – alam barzakh sebagaimana yang dipaparkan di atas.

          Pengarang kitab al-Irsyad ila Shahih al-I’tiqad, Dr. Salih Fauzan Al-Fauzan berkata:
مَذْهَبُ سَلَفِ اْلأُمَّةِ وَأَئِمَّتِهَا أَنَّ الْمَيِّتَ إِذَا مَاتَ يَكُوْنُ فِى نَعِيْمٍ أَوْ عَذَابٍ. وَأَنَّ ذَلِكَ يَحْصُلُ لِرُوْحِهِ وَبَدَنِهِ وَأَنَّ الرُّوْحَ تَبْقَى

بَعْدَ مُفَاَرَقَةِ الْبَدَنِ مُنْعَمَةٌ أَوْمُعَذَّبَةٌ ، وَأَنَّهَا تَتَّصِلُ بِالْبَدَنِ أَحْيَانًا ، وَيَحْصُلُ لَهُ مَعَهَا النَّعِيْمُ أَوْ الْعَذَابُ
Golongan Salaf Soleh dan para imamnya berpendapat bahawa seseorang bila wafat akan merasakan nikmat atau azab. Yang demikian itu akan dialami oleh rohnya dan badannya bersama-sama. Sesungguhnya roh akan kekal untuk merasakan nikmat atau azab walaupun setelah berpisah dengan badan kerana roh kadangkala berhubungan dengan badan agar bersama-sama merasakan nikmat atau siksaan.

Sumber Asal: HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1
Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah

Monday, July 15, 2013

Asal Usul Mu'Tazilah

Muktazilah (bahasa Arab: المعتزلة al-mu`tazilah) adalah satu dari cabang pemikiran dalam Islam yang terkenal dengan sifat rasional dan liberal. Ciri utama yang membezakan pemikiran ini dari pemikiran teologi Islam lainnya adalah pandangannya yang lebih banyak menggunakan dalil 'aqliah (akal) sehingga sering disebut sebagai aliran rasionalis Islam.

Sejarah Perkembangan

Pemikiran Muktazilah mula bertapak pada kurun kelapan Masehi (abad kedua hijrah) di Basrah, Iraq, apabila Wasil ibn Ata meninggalkan kelas pembelajaran Hasan al-Basri selepas berselisih faham mengenai isu Al-Manzilah bayna al-Manzilatayn (akan diterangkan kemudian). Beliau dan pengikutnya termasuk Amr ibn Ubayd kemudiannya dilabelkan sebagai Muktazili/Mu'tazili. Golongan ini juga menggelar diri mereka sebagai Ahl al-Tawhid wa al-'Adl (golongan tauhid dan keadilan Tuhan) berdasarkan ideologi yang mereka perjuangkan di antaranya mahukan sistem Islam yang berdasarkan akal. Mereka juga dilabel sebagai golongan free will dan free act, kerana mereka berpegang kepada prinsip kebebasan melakukan sesuatu.

Ketika pertama kali muncul, pemikiran Muktazilah tidak mendapat simpati umat Islam, terutama di kalangan masyarakat awam kerana mereka tidak begitu memahami ajaran Muktazilah yang bersifat rasional dan sarat dengan falsafah. Alasan lain mengapa pemikiran ini kurang mendapat sokongan umat Islam pada saat itu adalah kerana pemikiran ini dianggap tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat.
Muktazilah bergantung kepada beberapa aspek pemikiran dari falsafah Islam, Greek dan Helenistik.

Aliran Muktazilah berkembang di kalangan golongan intelek semasa pemerintahan Khalifah al-Ma'mun dari dinasti Abbasiyah (198-218 H/813-833 M). Kedudukan Muktazilah semakin kukuh setelah Khalifah al Ma'mun menjadikannya sebagai mazhab rasmi negara. Dikatakan Khalifah al Ma'mun sejak kecilnya sudah dididik dalam tradisi Yunani yang gemar dengan falsafah dan ilmu pengetahuan.

Dan pada zaman itulah golongan muktazilah memaksakan pemikirannya yang dikenal dalam sejarah dengan peristiwa Mihnah (fahaman bahawa al-Quran itu makhluk Allah, jadi tidak qadim. Jika al-Quran dikatakan qadim, maka akan timbul kesimpulan bahawa ada yang qadim selain Allah).

Ajaran Asas

Muktazilah mempunyai lima ajaran asas iaitu:

- Al-Tauhid التوحيد:

Muktazilah percaya kepada Tauhid iaitu Tuhan itu satu. Mereka berbeza dari majoriti Muslim dalam menerangkan tentang konsep Tauhid supaya selari dengan wahyu dan akal. Contohnya majoriti mazhab dalam Islam menghadapi kesulitan dalam menerangkan sifat Tuhan tanpa menyamakanNya dengan perwatakan manusia (anthropomorphic) atau tidak menerangkan langsung maksud tersebut seperti yang tertulis dalam wahyu. Muktazilah mengatakan sifat Tuhan adalah tidak berbeza dari zatNya. Dengan kata lain, Tuhan itu Maha Mengetahui, tetapi Tuhan itu Maha Mengetahui kerana zatNya bukannya kerana Ia mempunyai pengetahuan yang terasing dari diriNya. Konsep Tauhid ini diterangkan dalam hasil kerja cendekiawan Muktazilah, hakim agung Abd al-Jabbar ibn Ahmad.
al-Qur'an ialah makhluk.

- Al-'Adl العدل 

Keadilan Tuhan. Dalam menghadapi masalah kewujudan kejahatan di dunia, Muktazilah percaya kepada free will (kebebasan manusia). Kejahatan dilihat sebagai sesuatu yang berlaku kerana kesalahan manusia dalam melakukan sesuatu. Muktazilah tidak menafikan kewujudan kezaliman ke atas manusia kerana ini terjadi disebabkan manusia itu menyalah gunakan free will (kebebasan) yang diberi Tuhan. Dalam menerangkan hal ini, Muktazilah bergantung kepada doktrin taklif - iaitu hidup ini adalah ujian Tuhan kepada manusia yang diberikan akal fikiran untuk memilih yang baik dan buruk.

Pada hari Kiamat nanti, mereka akan dihukum Tuhan atas segala nikmat yang mereka perolehi dan tanggungjawab yang diamanahkan semasa mereka di dunia. Sekiranya mereka ini menyalah gunakan akal fikiran yang diberi Tuhan, mereka akan dihukum di neraka. Ini kerana Tuhan telah bersikap adil dalam menjelaskan jalan yang lurus dan jalan yang sesat dalam kitab suciNya.

- Al-Wa'd wa al-Wa'id الوعد و الوعيد 

Janji dan amaran. Mereka berpendapat Tuhan tidak akan mungkir janji iaitu memberi pahala pada muslimin yang baik dan memberi azab seksa pada muslimin yang jahat pada hari Kiamat nanti.

- Al-Manzilah bayna al-Manzilatayn

Posisi pertengahan. Pendapat ini dicetuskan Wasil ibn Ata yang membuatnya berpisah dari gurunya Hasan al-Basri, bahwa mukmin berdosa besar dan tidak bertaubat, dia bukan mukmin (beriman) tetapi juga bukan kafir (tidak beriman), statusnya boleh dipanggil fasik. Mereka ini boleh dikebumikan sebagai Muslim, didoakan dan mengahwini Muslim. Hanya Tuhan yang akan menentukan di neraka mana mereka ditempatkan kerana neraka itu mempunyai banyak tingkat untuk semua golongan.
Imam Hasan al-Basri berpendapat muslim berdosa besar masih seorang mukmin sementara golongan Khawarij mengatakan mereka kafir.

- Al-amr bil ma'ruf wa al-nahy 'an al munkar الأمر بالمعروف و النهي عن المنكر

menyeru kebaikan dan melarang kemungkaran. Menyeru kebaikan terdapat dua jenis, satu yang wajib seperti tanggangjawab agama (al-faraid) apabila seseorang meninggalkannya (dayya'aha) dan yang sunat (al-nafila) apabila seseorang meninggalkannya (tarakaha). Dan bagi melarang kemungkaran, ia wajib kerana kemungkaran itu adalah salah (qabih). Jika boleh, melarang kemungkaran itu mestilah jalan yang tidak menyusahkan atau menjadikan kemungkaran itu tidak begitu teruk, dengan matlamat supaya kemungkaran itu tidak berlaku langsung.

Tafsiran Muktazilah berbeza dengan tafsiran ulama’-ulama’ ahli as-sunnah wal-jamaa’h. Di mana muktazilah berpendapat bahawa menyuruh kepada perkara yang ma’ruf dan mencegah perkara kemungkaran mestilah dengan hati terlebih dahulu, kemudian dengan lidah, kemudian dengan tangan dan sekiranya tidak mencukupi dengan lidah dan tangan maka dengan menggunakan pedang. Mereka tidak membezakan antara yang berkuasa dengan tidak berkuasa.

SUMBER

Saturday, July 13, 2013

Aliran- aliran Syiah

Syiah Al-Mukhlashin

Iaitu kelompok Syiah ketika Ali bin Abu Thalib menjadi khalifah telah ada, mereka ini terdiri dari kalangan muhajirin dan ashar yang mendukung Ali bin Abu Thalib sebagai khalifah, mereka tidak mengkafir, mencaci, menghina, dan membenci sahabat, mereka juga berpegang teguh dengan ajaran Allah dan rasulNya secara utuh dan tidak membuat ajaran sendiri, tidak menambah, mengurangi, mengubah, atau memalsukan ajaran Islam.

Syiah Tafdliliyah

Iaitu kelompok Syiah yang sepenuhnya mendukung Khalifah Ali bin Abu Thalib sebagai khalifah, melebihi sahabat Nabi SAW. lainnya. Namun mereka juga tidak mengkafirkan, mencaci, menghina, atau membenci para sahabat Nabi SAW., seperti Abu Bakar, Umar, dan Utsman.

Syiah As-Sab'iyah

Kelompok Syiah ini juga disebut Syiah At-Tabri'iyah. Kelompok Syiah ini mengkafirkan, mencaci, dan menghina sahabat, seperti Abu Bakar, Umar, dan Utsman. Mereka berlebihan dalam memuji Ali dan membelanya dan bahkan ada yang menganggap bahwa Ali bin Abu Thalib adalah nabi, ada pula yang mengatakan bahwa Ali bin Abi Thalib adalah Tuhan.

Syiah Ghulat

Iaitu kelompok Syiah yang mengatakan secara terang-terangan bahwa Ali bin Abu Thalib adalah Tuhan, bahkan Al-Jahd mengatakan bahwa roh Allah adalah roh Ali bin Abu Thalib. Kelompok Syiah ini pecah menjadi 24 golongan.

Pecahan Syiah

Berpangkal dari empat kelompok besar tersebut, Syiah pecah menjadi puluhan bahkan ratusan golongan, dan tiap-tiap golongan mempunyai ajaran yang kadang-kadang berbeza akidah dan syariatnya antara satu dengan yang lainnya. Ada yang jauh dari ajaran Islam dan ada yang masih berpegang teguh dengan ajaran Islam secara utuh, ada pula yang mencampur adukkan antara ajaran Islam dengan ajaran para imam mereka. Selain itu, tidak semua kelompok Syiah dapat berkembang hingga kini, hanya ada beberapa kelompok sahaja yang masih wujud, seperti Syiah Imamiyah. Sebagai contoh adanya perpecahan di dalam Syiah adalah perpecahan Syiah Saba'iyah dan Syiah Ghulat.

Syiah Ghulat

Syiah Ghulat adalah kelompok Syiah yang berlebihan dalam memuja Saidina Ali bin Abu Thalib, bahkan menganggapnya sebagai Tuhan dan roh Allah adalah roh Ali. Kelompok Syiah ini pecah menjadi 24 golongan.

Syiah Saba'iyah

Adalah kelompok Syiah yang diketuai oleh Abdullah bin Saba', salah seorang Yahudi yang mengaku pura-pura masuk Islam. Mereka menganggap bahawa Ali bin Abu Thalib adalah Tuhan, bahkan pada saat Ali r.a. wafat ia mengatakan bahwa Ali bin Abu Thalib belum meninggal dan tidak akan meninggal.

Syiah Al-Mufadliliyah

Iaitu kelompok Syiah yang dipimpin oleh Mufadlal as-Saifary. Mereka berkeyakinan bahawa amir atau imam atau khalifah darjatnya sama dengan darjat nabi, mereka mempunyai autoriti ketuhanan.

Syiah As-Sarighiyah

Iaitu kelompok Syiah yang sefahaman dengan Syiah Al-Mufadliliyah.

Syiah Al-Bazi'iyah

Iaitu kelompok Syiah di bawah pimpinan Bazi' bin Yunus, mereka meyakini bahwa Imam Ja'far ash-Shadiq adalah Tuhan.

Syiah Al-Kamiliyah

Iaitu kelompok Syiah yang dipelopori oleh Abu Kamil. Mereka meyakini bahawa orang yang telah meninggal dunia rohnya dapat berpindah-pindah kepada orang lain.

Syiah Mughayiriyah

Iaitu kelompok Syiah pimpinan Mughirah bin Sa'id al-Ajaly. Mereka yakin bahawa Allah berjasad dan wujud sebagai seorang lelaki.

Syiah Jinahiyah

Syiah kelompok ini dipimpin oleh Abdullah bin Mu'awiyah bin Abdullah bin Ja'far Dzil Janahaini. Mereka berkeyakinan bahwa roh manusia dapat berpindah-pindah dan pada mulanya roh Allah adalah Nabi Adam.

Syiah Al-Bayaniyah

Iaitu kelompok Syiah pimpinan Bayan bin Sam'an at-Tamimi. Mereka berkeyakinan bahawa Allah sama seperti manusia.

Syiah Al-Manshuriyah

Iaitu kelompok Syiah pimpinan Abu Manshur al-Ajaly. Mereka berkeyakinan bahawa kenabian dan kerasulan tidak terputus selamanya.

Syiah Al-Ghamamiyah

Syiah Al-Ghamamiyah juga dikenali sebagai Syiah Ar-Rabi'iyah. Mereka yakin bahawa, Allah akan turun ke bumi setiap musim semi dalam keadaan terhalang oleh awan dan berputar-putar mengelilingi dunia kemudian naik ke langit lagi.

Syiah Al-Imamiyah

Iaitu kelompok Syiah yang menganggap bahawa kedudukan imam atau amir atau khalifah sama dengan nabi, mereka berhak untuk membuat ajaran atau syariat. Syiah inilah yang berkembang dan telah tersebar ke pelbagai negara, termasuk di Indonesia, Malaysia, Singapura, dan lain-lain, lebih-lebih di Timur Tengah dan khususnya di Iran yang merupakan asal perkembangan Syiah Imamiyah.

Syiah At-Tafwidliyah

Iaitu kelompok Syiah yang beranggapan bahawa Allah menciptakan Nabi Muhammad saw kemudian memerintahkan-Nya menciptakan isinya.

Syiah Khattabiyah

Iaitu kelompok Syiah pimpinan Abu Khattab al-Asady. Mereka berkeyakinan bahawa para imam atau amir mereka adalah nabi.

Syiah Al-Ma'damariyah

Iaitu Syiah kelompok Al-Ma'mar. Mereka berkeyakinan bahwa Imam Ja'af ash-Shadiq adalah nabi.

Syiah Al-Ghurabiyah

Iaitu kelompok Syiah yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW memunyai iras seperti Ali bin Abu Thalib, laksana burung gagak dengan burung gagak. Dan, pada saat Allah mengutus malaikat Jibril untuk menyampaikan wahyu kepada Ali bin Abu Thalib salah alamat kepada Muhammad SAW kerana raut wajahnya yang sama, sehingga Jibril tidak dapat membezakannya, maka jadilah Nabi Muhammad saw. sebagai nabi yang seharusnya adalah Ali yang menjadi nabi.

Syiah Zubabiyah

Adalah kelompok Syiah bahagian Syiah Al-Ghurabiyah, hanya mereka mengatakan dan meyakini bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan kenabiannya bukan kerana Jibril salah ketika memberi wahyu, tetapi memang Nabi Muhammad yang diutus oleh Allah sebagai nabi dan bukan Ali.

Syiah Adz-Dzammiyah

Iaitu kelompok Syiah yang selalu mencaci dan menghina Nabi Muhammad SAW, kerana menurut mereka yang berhak menjadi nabi adalah Ali bin Abu Thalib dan bukan Nabi Muhammad SAW.

Syiah Al-Itsniyaniyah

Kelompok Syiah ini termasuk Syiah Adz-Dzammiyah, bezanya Syiah ini menganggap bahawa Nabi Muhammad saw. adalah Tuhan dan bukan nabi.

Syiah Al-Khamsiyah

Iaitu kelompok Syiah bahagian Syiah Dzammiyah, mereka menganggap bahwa Nabi Muhammad SAW, Ali bin Abu Thalib, Fatimah, Hasan, dan Husein adalah Tuhan.

Syiah An-Nusairiyah

Iaitu kelompok Syiah yang berkeyakinan bahawa Allah menyerupai Ali bin Abu Thalib dan anak-anaknya.

Syiah Al-Ishaqiyah

Iaitu kelompok Syiah yang berkeyakinan bahwa roh Tuhan kepada Ali bin Abu Thalib, namun mereka berselisih faham, setelah Ali meninggal dunia roh Tuhan menyerupai siapa saja.

Syiah Al-Albaiyah

Iaitu kelompok Syiah pimpinan Al-Ba' bin Arwa' al-Asady. Mereka berkeyakinan bahawa amir atau imam mereka adalah Tuhan dan darjatnya sama dengan Tuhan dan bahkan lebih tinggi daripada nabi.

Syiah Ar-Razamiyah

Iaitu kelompok Syiah yang dipimpin oleh Muhammad bin Al-Hanafiyah dan setelah meninggal digantikan oleh putranya, kemudian diganti oleh Ali bin Abdullah bin Al-Abbas, kemudian diganti oleh putranya Abu Al-Manshur. Mereka berkeyakinan bahawa Allah menyerupai Abu Muslim, dan meyakini bahwa Abu Muslim tidak akan meninggal dunia selama-lamanya.

Syiah Al-Muqannaiyah

Iaitu kelompok Syiah yang dipimpin oleh Al-Muqanna'. Para pengikutnya meyakini bahwa Al-Muqanna' adalah Tuhan, setelah meninggalnya Al-Husain.

Sumber: Mengenal Aliran-Aliran Islam dan Ciri-Ciri Ajarannya, Drs. Muhammad Sufyan Raji Abdullah, Lc

Buku Mengenal Aliran-Aliran Islam dan Ciri-Ciri Ajarannya oleh Drs. Muhammad Sufyan Raji Abdullah, Lc telah diterbitkan oleh penerbit LPPI Riyadhus Shalihin, Jln. Curug Cempaka Blok III, No. 97, Jatiwaringin, Pondok Gede, Telp. (021) 8618791, Jakarta) Al.islam.or.id

SUMBER

Sunday, June 16, 2013

Asal Usul Syi’ah

Kebanyakan ahli sejarah berbeza pendapat tentang permulaan Syi’ah yang sebenarnya. Yang diketahui umum, Syi’ah adalah puak yang mendokong Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a.

Namun tidak bermakna pengikut Ali itu syi’ah dan pengikut Mu’awiah itu Sunnah. Tiada seorangpun yang bersetuju dengan kenyataan ini. Malah, semua ahli sunnah yakin bahawa dalam perselisihan yang berlaku antara dua sahabat besar itu, kebenaran berada di pihak Ali. Dan Mu’awiah, beliau telah berijtihad. Namun ijtihadnya tidak menepati kebenaran. Jelas bahawa fikrah ahli sunnah adalah memihak kepada Ali. Begitu juga prinsip-prinsip akidah dan fikrah yang dipegang oleh syi’ah bukan daripada fikrah dan prinsip akidah Ali bin Talib sama sekali. Justeru kita tidak boleh berkata bahawa syi’ah bermula pada zaman ini.

Terdapat ahli sejarah yang berkata bahawa permulaan syi’ah adalah selepas syahidnya Husain bin Ali r.a.
Pendapat ini memang berasas. Husain telah keluar dari pemerintahan (tidak mengiktiraf kekhalifahan) Yazid bin Mu’awiah. Beliau berangkat menuju ke Iraq apabila beliau dipanggil oleh sebahagian penduduknya dan berjanji akan membantunya. Namun di saat-saat akhir, mereka telah memungkiri janji. Itulah yang menjadi punca syahidnya Husain.

Setelah Husain syahid, sebahagian mereka yang mengajaknya keluar telah menyesal. Mereka bertekad untuk menghapus dosa-dosa mereka dengan mengisytiharkan diri keluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Pertempuran pun berlaku, sebahagian mereka terbunuh. Mereka inilah dikenali sebagai syi’ah. Lantaran itulah kita lihat hubungan mereka dengan Husain lebih rapat berbanding hubungan mereka dengan Ali sendiri. Pada hari ini, kita semua lihat mereka mengadakan upacara memperingati kesyahidan Husain, tetapi tidak ada sebarang upacara memperingati kesyahidan Ali.

Sungguhpun begitu, kelahiran golongan ini tidak lain hanyalah suatu gerakan politik menentang pemerintahan Bani Umayyah. Mereka tidak mempunyai prinsip-prinsip akidah atau mazhab fiqhiyyah yang berlawanan dengan ahli sunnah. Bahkan kita dapati para pemimpin angkatan pertama yang didakwa oleh orang-orang syi’ah sebagai imam-imam mereka adalah pendokong-pendokong sunnah. Semua tutur kata mereka adalah berlandaskan akidah sunnah dan prinsip-prinsipnya.
Keadaan pemberontakan boleh dikatakan reda seketika selepas beberapa bulan syahidnya Husain. Tidak lama kemudian muncul Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali r.a. Beliau merupakan antara manusia terpilih, ulamak yang zuhud. Tidak terdapat langsung kesan-kesan atau tanda-tanda perbezaan akidah dan fikrah yang dibawanya dengan apa yang dipegang oleh para sahabat dan tabi’in.
Terdapat di kalangan anak-anak Zainal Abidin dua tokoh yang sangat hebat dan sangat tinggi darjah kewarakan dan ketaqwaan mereka. Mereka adalah Muhammad al-Baqir dan Zaid. Fikrah mereka berdua juga sama sepenuhnya dengan ulamak sunnah dari kalangan sahabat dan tabi’in. kalau pun ada perbezaan hanyalah pendapat Zaid yang melihat Ali bin Talib lebih utama menjadi khalifah daripada Abu Bakar as-Siddiq. Pendapat ini, meskiupun bercanggah dengan ijmak dan bercanggah dengan hadis-hadis yang tidak terhitung banyaknya mengenai kelebihan Abu Bakar, Umar dan Uthman, namun ia bukanlah perselisihan dari segi akidah. Zaid mengiktiraf kelebihan tiga khalifah terdahulu, tetapi dia berpendapat Ali lebih afdhal. Dia juga berpendapat harus melantik khalifah di kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kepimpinan (imamah/kekhalifahan) Abu Bakar, Umar dan Uthman. Dalam nuktah yang lain daripada ini, beliau selari dengan ahli sunnah; akidah, fekah dan prinsip-prinsipnya.

Zaid meneruskan tradisi datuknya dalam menentang khilafah bani Umayyah. Penentangan beliau telah berlaku di zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik dan telah berakhir dengan beliau mati terbunuh pada tahun 122 H.

Selepas kematiannya pengikut-pengikutnya mengasaskan mazhab yang terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah, iaitu nisbah kepada namanya Zaid bin Ali. Mazhab ini, sekalipun tersenarai di dalam mazhab syi’ah tetapi ia selari dengan ahli sunnah dalam semua aspek kecuali dalam bab mengatakan Ali lebih utama daripada tiga khalifah ar-rasyidin sebelumnya. Pengikut mazhab ini bertaburan di Yaman. Mereka adalah puak syi’ah yang paling dekat dengan sunnah. Boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dalam kebanyakan perkara.
Perlu disebutkan bahawa di sana terdapat satu golongan dari pengikut Zaid bin Ali yang bertanya pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka dia mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. Para pengikutnya yang bertanya tadi tidak dapat menerima pendiriannya. Mereka enggan memohon rahmat ke atas Abu Bakar dan Umar. Lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid. Golongan ini dikenali sebagai ar-rafidhah (orang yang menolak) kerana mereka menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar dan menolak pendapat Zaid tentang kepimpinan kedua-dua tokoh besar itu. Dan dari golongan inilah yang menjadi pengasas Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu Mazhab Syi’ah yang terbesar.
Muhammad al-Baqir, saudara kepada Zaid bin Ali yang meninggal dunia sebelum Zaid selama lapan tahun, iaitu pada tahun 114H telah meninggalkan sseorang anak yang alim dan hebat, iaitu Jaafar as-Sadiq. Dia merupakan salah seorang ulamak yang berpengaruh, seorang faqih yang sangat pintar. Semua pandangannya adalah selari dengan akidah sahabat, tabi’in dan seluruh ulamak muslimin.

Di akhir pemerintahan Bani Umayyah, gerakan ‘Abbasiyyah bangkit dengan cergas. Gerakan ini berusaha mengumpul manusia untuk melakukan rampasan kuasa dari khalifah Bani Umayyah. Gerakan ini menjalinkan kerjasama dengan golongan yang berpecah dari Zaid bin Ali. Akhirnya khalifah Bani Umayyah digulingkan pada tahun 132H dan terbangunlah khilafah al-‘Abbasiyyah dengan dipimpin oleh Abi al-‘Abbas as-Saffah, kemudian Abi Jaafar al-Mansur. Golongan yang berpecah dari Zaid yang telah bekerjasama menjatuhkan khilafah Umayyah berasa keciwa kerana mereka mahukan kepimpinan dipegang oleh salah seorang dari kalangan cucu cicit Ali bin Abi Talib. Maka mereka bangkit semula untuk menggulingkan khilafah ‘Abbasiyyah dengan membentuk satu jamaah yang dikenali sebagai Talibiyyin (nisbah kepada Ali bin Abi Talib) sebagai saingan kepada puak yang dinisbahkan kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib.

Sampai ke saat ini tidak terdapat sebarang perbezaan dari segi akidah dan fiqah kecuali dalam isu Abu Bakar dan Umar. Golongan ini, iaitu yang terpisah dari Zaid bin Ali menolak mereka berdua (Abu Bakar dan Umar), malah secara terang-terangan melaknat mereka berdua.
Tahun 148H Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Beliau meninggalkan seorang putera bernama Musa al-Kazim. Musa al-Kazim juga seorang yang alim, tetapi tidak sampai ke taraf ayahnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 183H dengan meninggalkan beberapa orang anak. Antara mereka adalah Ali bin Musa ar-Ridha.

Khalifah al-‘Abbasiyyah yang terkenal, iaitu al-Ma’mun mahu mententeramkan fitnah at-Talibiyyin yang menuntut jawatan ketua untuk cucu cicit Ali bin Abi Talib. Beliau melantik Ali bin Musa ar-Ridha sebagai putera mahkota. Perlantikan ini telah mengundang bantahan yang meluas di kalangan ‘Abbasiyyin. Tetapi Ali ar-Ridha tiba-tiba mati secara mengejut. At-Talibiyyun menuduh al-Ma’mun telah membunuhnya. Maka sekali lagi timbul pemberontakan demi pemberontakan ke atas al-‘Abbasiyyin sebagaimana mereka telah lakukan ke atas Umawiyyin.

Tahun demi tahun berlalu. Akar umbi pemberontakan secara relatifnya kelihatan tenang. Dan sehingga waktu ini belum kelihatan suatu aliran keagamaan yang berlainan yang dinamakan mazhab syi’ah. Yang ada hanyalah gerakan politik yang bertujuan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan dan menentang pemerintah sedia ada kerana beberapa sebab. Namun tidak ada satupun di antara sebab-sebab yang banyak itu sebab berkaitan dengan akidah yang menjadi pegangan mazhab syi’ah sekarang.

Apa yang menarik perhatian, suara-suara mengajak keluar dari pemerintahan ‘Abbasiyyin telah tersebar begitu meluas di wilayah Parsi (Iran sekarang). Kebanyakan penduduk di daerah ini telah sekian tahun mengalami kekeciwaan kerana kejatuhan kerajaan dan raja negara Parsi yang agung. Ia telah jatuh ke tangan umat Islam dan telah menjadi sebahagian daripada empayarnya. Mereka beranggapan bahawa bangsa mereka lebih tinggi keturunannya, lebih mulia darah dagingnya, lebih mendalam tunjang sejarahnya daripada kaum muslimin. Kerana itu, muncul pula sebuah gerakan yang dinamakan asy-Syu’ubiyyah, iaitu dinisbahkan kepada suatu bangsa tertentu, bukan kepada Islam. Sebahagian mereka menzahirkan kecintaan yang berakar umbi kepada Parsi dengan segala elemen yang ada padanya termasuk api yang menjadi sembahan mereka.

Mereka sedar bahawa secara bersendirian mereka tidak akan mampu menjatuhkan kerajaan Islam, dan mereka sendiri telah menjadi muslim sejak bebarapa dekad yang lalu. Maka mereka melihat pemberontakan yang dilakukan oleh Talibiyyin sebagai satu peluang bagi memenuhi hasrat mereka. Mereka akan bergabung dengan Talibiyyin untuk menggulingkan khilafah islamiyyah yang telah menjatuhkan negara mereka sebelum ini. Pada masa yang sama mereka tidak akan meninggalkan agama Islam yang mereka telah anuti bertahun-tahun lamanya, tetapi mereka akan menyelewengkannya dengan mencampur adukkan saki baki tradisi negara Parsi yang lalu. Mereka akan menyuntik ke dalamnya apa-apa yang boleh menjamin berterusannya suasana tidak stabil di kalangan umat Islam. Mereka tidak akan memainkan peranan sebagai pucuk pimpinan, sebaliknya mereka akan berselindung di sebalik Talibiyyin yang bernasabkan Ali bin Abi Talib yang merupakan sebahagian dari Ahli Bait Rasulullah s.a.w. Ahli Bait memang mendapat tempat di hati orang ramai. Dengan cara itu dakwah mereka akan berterusan.

Demikianlah bersatunya gerakan Syu’ubiyyin Parsi dengan puak Talibiyyin dari kalangan Ahli Bait. Kesatuan ini membentuk suatu susuk yang baru yang berkembang menjadi sebuah organisasi yang berdiri sendiri, bukan sahaja bercorak politik semata-mata, malah bercorak keagamaan juga.

Kembali kepada silsilah keturunan Talibiyyin, kita dapati setelah kewafatan Ali ar-Ridha yang dipilih oleh al-Ma’mun sebagai putera mahkota, muncul anaknya Muhammad al-Jawad. Kemudian Muhammad al-Jawad meninggal dunia pada tahun 220H. Muncul pula selepasnya anaknya yang bernama Ali bin Muhammad al-Hadi. Ali meninggal pada tahun 254H. muncul anaknya al-Hasan bin Ali yang mendapat gelaran al-‘Askariy. Beliau mati secara mengejut pada tahun 260H. Baliau tidak mempunyai anak kecuali seorang yang masih kecil berusia lima tahun, bernama Muhammad.

Dalam tempoh beberapa tahun berlalu, gerakan pemisah yang merupakan gabungan sekumpulan ahli bait dan sekumpulan syu’ubiyyin Parsi, mereka menyerahkan pucuk pimpinan kepada anak sulung kepada pemimpin Talibiyyin, bermula dari Ali ar-Ridha dan berakhir kepada al-Hasan al-‘Askariy. Adapun pemimpin sebelum Ali ar-Ridha seperti ayahnya Musa al-Kazim atau datuknya Jaafar as-Sadiq atau moyangnya Muhammad al-Baqir, tidak pernah memimpin mana-mana gerakan pemberontakan, sama ada ke atas pemerintahan Umawiy atau ‘Abbasiy.
Semasa kematian al-Hasan al-‘Askariy pada tahun 260H, puak pemberontak berada dalam kebingungan; siapakah yang akan dilantik sebagai pemimpin mereka? Al-Hasan al-‘Askariy hanya meninggalkan seorang anak yang masih kecil. Keadaan bertambah kusut apabila anak yang kecil ini ikut meninggal dunia secara tiba-tiba. Keadaan ini menjadikan puak pemberontak berpecah kepada beberapa kelompok yang sangat banyak. Setiap kelompok berbeza antara satu sama lain dari semua sudut: fikrah, syari’ah dan akidah.

Kumpulan yang paling masyhur dari kalangan kelompok ini adalah al-Ithna ‘Asyariyyah. Inilah kelompok yang wujud sekarang di Iran, Iraq dan Lubnan. Dan inilah kelompok syi’ah yang paling besar pada masa kini.

Para pemimpin golongan ini mula menempelkan kepada Islam perkara-perkara yang bersesuaian dengan situasi yang mereka hadapi waktu itu dan perkara-perkara yang menjamin kelangsungan gerakan mereka, khususnya di kala ketiadaan pemimpin bagi kumpulan mereka
Sesungguhnya mereka telah menokok tambah ke dalam agama Islam perkara-perkara bid’ah yang sangat berbahaya. Mereka mendakwa apa yang ditokok tambah itu merupakan bahagian yang tidak terpisah dari Islam. Dan bid’ah-bid’ah itu akhirnya menjadi akidah yang membentuk susuk tubuh mereka. Antara bid’ah itu ada yang secara khusus berkaitan dengan imamah (kepimpinan dalam agama). Mereka mahu menyelesaikan masalah ketiadaan pemimpin pada masa itu, maka mereka berkata pemimpin hanyalah 12 orang sahaja. Pemimpin-pemimpin itu secara tertibnya adalah terdiri dari:
1. Ali bin Abi Talib
2. Al-Hasan bin Ali
3. Al-Husain bin Ali
4. Ali Zainal Abidin bin al-Husain
5. Muhammad al-Baqir bin Zainal Abidin
6. Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir
7. Musa al-Kazim
8. Ali ar-Ridha
9. Muhammad al-Jawad
10. Ali al-Mahdi
11. Muhammad al-Mahdi
12. Al-Hasan al-‘Askariy

Dari sini kumpulan ini dikenali sebagai al-Ithna ‘Asyariyyah. Dan untuk memberikan pentafsiran terhadap berakhirnya imam-imam, mereka mendakwa bahawa anak kecil Muhammad bin al-Hasan al-‘Askariy sebenarnya tidak mati. Bahkan dia berada di tempat persembunyian di atas bukit. Dan dia masih hidup sampai sekarang (kini sudah lebih 1000 tahun). Dan suatu hari nanti dia akan kembali memerintah dunia. Pada pegangan mereka, dia itulah al-Mahdi al-Muntazar. Mereka mendakwa juga bahawa Rasulullah s.a.w. telah berwasiat dengan menyebut nama-nama imam yang 12 itu, tetapi para sahabat menyembunyikannya. Kerana itulah mereka mengkafirkan para sahabat keseluruhannya atau memfasiqkan sebahagian daripada mereka. Alasannya ialah para sahabat telah menyembunyikan wasiat mengenai nama-nama imam mereka. Kemudian mereka memasukkan ke dalam Islam konsep perwarisan dalam sistem pemerintahan. Menurut mereka, imam mestilah dilantik dari kalangan anak lelaki yang sulung bermula daripada Ali bin Abi Talib diikuti dengan imam-imam selepasnya. Fahaman seperti ini, seperti sedia maklum, tidak ada dalam ajaran Islam. Sehingga negara-negara Islam yang diperintah oleh ahli sunnah yang mengamalkan sistem perwarisan seperti dinasti umayyah, ‘abbasiyyah, saljuqiyyah, ayubiyyah dan uthmaniyyah, mereka tidak pernah mendakwa bahawa perwarisan ini adalah ajaran agama. Mereka tidak pernah berkata bahawa khalifah mesti dilantik dari kalangan ahli keluarga tertentu sahaja.

Syi’ah juga telah memasukkan fahaman yang berasal dari ajaran Parsi mengenai masalah mentaqdis (memuja) ahli keluarga pemerintah. Mereka mendakwa imam-imam adalah maksum dan semua imam-imam yang telah disenaraikan nama-nama mereka itu terpelihara dari kesalahan dan dosa. Natijahnya mereka mengambil kata-kata imam itu seperti al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Bahkan kebanyakan kaedah-kaedah fiqh dan asas-asas perundangan mereka sekarang adalah berlandaskan kata-kata imam-imam mereka, sama ada kata-kata itu benar-benar pernah dilafazkan oleh imam-imam itu atau dinisbahkan kepada mereka secara palsu. Dan lebih daripada itu, al-Khomaini, pemimpin revolusi Iran telah menulis di dalam kitabnya ‘Al-Hukumah al-Islamiyyah” (kerajaan Islam): “…. Sesungguhnya antara asas penting dalam mazhab kita ialah: bagi imam-imam kita maqam (kedudukan) yang tidak dicapai oleh malaikat muqarrabin dan tidak dicapai oleh nabi yang mursal (yang diutus)!! Mereka sangat memusuhi semua sahabat (kecuali segelintir yang bilangannya tidak lebih dari 13 orang). Permusuhan ini termasuklah terhadap sebahagian daripada ahli bait seperti al-‘Abbas bapa saudara Rasulullah s.a.w. dan puteranya Abdullah bin al-‘Abbas r.a. Dan sebab mereka memusuhi dan mengkafirkan dua beranak ini adalah perselisihan antara kumpulan Ithna ‘Asyariyyah dengan khilafah al-‘Abbasiyyah.

Antara bid’ah mereka juga, mereka menghukum kebanyakan negeri-negeri Islam sebagai negeri kafir. Mereka mengkafirkan penduduk Mekah dan Madinah, Syam dan Mesir. Mereka mengeluarkan kata-kata yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama. Kata-kata ini terdapat di dalam sumber rujukan mereka yang asli seperti al-Kafi, Bahr al-Anwar, Tafsir al-Qummiy, Tafsir al-‘Ayyasyi, al-Burhan dan lain-lain.

Ekoran dari itu mereka menolak semua ulamak sunnah. Mereka menolak kitab-kitab hadis dan sunnah yang sahih. Bagi mereka, tiada Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, dan an-Nasaei. Tiada Abu Hanifah, Malik, asy-Syafiei atau Ahmad bin Hanbal. Demikian juga, tidak ada pada mereka Khalid bin al-Walid, Sa’ad bin Abi Waqqas, Umar bin Abdul Aziz, Musa bin Nusair, Nurud-Din Mahmud, Salahud-Din, Qataz, Muhammad al-Fatih dan sebagainya.

Oleh kerana mereka telah menolak sahabat r.a., at-Tabi’in, kitab-kitab hadis dan tafsir, maka mereka berpegang dengan kata-kata yang nisbahkan kepada imam-imam mereka. Kata-kata itu dari segi periwayatannya amat-amat lemah. Lantaran itu juga lahir di kalangan mereka bid’ah–bid’ah yang munkar dengan begitu banyak sekali sama ada dalam bab akidah, ibadah, muamalah dan lain-lain. Bukan tujuan kita di sini untuk menghitung bid’ah mereka kerana itu memerlukan penulisan yang berjilid-jilid. Tujuan kita hanya sekadar untuk menunjukkan punca masalah sahaja agar senang bagi kita memahami natijah daripadanya. Sesungguhnya bid’ah yang dicetuskan oleh mereka tidak terhitung banyaknya. Antaranya taqiyyah, raj’ah, tuduhan yang mengatakan al-Quran diselewengkan, upacara memperingati hari syahidnya al-Husain bin Ali dan banyak lagi.

Apa yang diperkatakan di atas adalah sebahagian daripada fikrah firqah Ithna ‘Asyariyyah. Di sana terdapat banyak lagi firqah yang muncul pada masa itu, khususnya masa yang dikenali sebagai ‘hirah asy-syi’ah’ (kebingungan syi’ah) yang bermula pada pertengahan kurun ke tiga hijriyyah, selepas kewafatan al-Hasan al-‘Askariy (Imam mereka yang ke 12)

Bermula dari zaman itu lahirlah kitab-kitab dan karangan-karangan yang ditulis untuk memperteguhkan fikrah dan akidah mereka. Fahaman mereka tersebar dengan meluasnya di negeri Parsi khasnya dan di negeri-negeri Islam lain amnya. Namun tidak ada negara yang didirikan pada masa itu menjadikan fikrah ini sebagai asas kerajaannya secara rasmi. Tetapi pada akhir kurun ke 13 hijriyyah dan permulaan kurun ke 14, dengan beberapa kejadian dan perkembangan yang berlaku mereka dapat telah sampai ke tampok pemerintahan di sesetengah negara umat Islam.


7 fahaman yang terdapat dalam Agama Islam

Ahli Sunnah Waljamaah

Golongan orang Islam yang berpegang pada Akidah ( ajaran, kepercayaan, dan amalan) yang dibawa oleh rasullullah mengikut Al-Quran, dan sunnahnya. Fahaman ini juga dijadikan penggangan para sahabat rasullullah ( Al-hadith, ajmak para sahabat, dan Al-khias). Fahaman ini dapat menjernihkan Akhidah umat Islam daripada berbagai-bagai fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Fahaman Syiah

Golongan yang menganggap Saidinah Ali Radhiallahhuan dan keturunannya yang lain sebagai pengganti Rasullullah sebagai Imam (Pemimpin) yang maksum bagi umat islam. Dan golongan ini tidak mengakui khalifah yang lain sebagai pemimpin. Dan golongan ini di anggap terpesong dari landasan agama Islam. Dan golongan ini ramai berada di Asia Barat.


Fahaman Muktazilah

Golongan yang percaya kepada ketentuan logik akal fikiran atau di kenali dengan ahli fikir. Mereka banyak terpengaruh dengan fahaman Yunani. Mereka percaya kepada keusahaan zat Allah Taala, tetapi tidak percaya Allah Taala mempunyai sifat. (Terlalu taksub kepada logik akal sehingga segala perbuatan manusia di tentukan oleh akal fikiran dan membelakangi kudrat dan irodah Allah Taala).

Fahaman Khodariah

Golongan  yang  mengikut fahaman Muktazilah yang berfahaman bahawa manusia mempunyai kuasa yang tersendiri dan dapat menentukan segala perbuatannya sama ada baik ataupun buruk. Allah Taala tidak ada kena-mengena dengan perbuatan manusia dan hanya mengetahui setelah perbuatan itu dilakukan oleh manusia. Menganggap perbuatan manusia  memberi kesan.

Fahaman Jabariah

Golongan yang berfahaman bahawa manusia tidak mempunyai ikhtiar dan usaha. Segala-galanya berlaku dan di jadikan oleh Allah Taala, baik dan buruk adalah ketentuan Allah Taala semata-mata.

Fahaman Wahabiat

Golongan yang berpengang pada Al-Quran dan hadith rasullullah  S.A.W serta menolak bidaah termasuk bidaah hassanah dan menganggap semua bidaah adalah sesat. Golongan  ini melarang penganutnya menziarahi makam rasullullah. Melarang penganutnya mempelajari sifat dua puluh Allah Taala.

Di atas ialah 7  fahaman yang terdapat di dalam agama Islam, kenapa saya menulis artikel ini kerana saya ingin berkongsi dengan anda semua, saya tahu ramai di antara anda semua tidak tahu yang agama Islam mempunyai fahaman-fahaman yang berlainan. Di antara semua fahaman di atas hanya satu sahaja fahaman yang berlandaskan ajaran Islam yang sebenar iaitu Akhli Sunnah Waljamaah.

Artikel ini telah di rujuk oleh sidang pengarang sinar jimiyat sdn bhd dan telah diluluskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

SUMBER

Copyright @ 2013 Fahaman Terpesong.